Thursday 5 September 2019

Makanan Tradisional Unik Masyarakat Sabah & Sarawak

   Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang mempunyai kebudayaannyayang tersendiri dan unik. Oleh kerana ia terpisah daripada Semenanjung Malaysia, pemakanan di antara etnik-etnik di sini adalah berbeza. Mempunyai lebih daripada tiga puluh etnik dan mempunyai keadaan geografi yang pelbagai, Sabah dan Sarawak menyediakan pelbagai jenis variasi makanan. Berikut merupakan infomasi yang dapat membantu kita mengenali pemakanan di antara etnik di Sabah dan Sarawak.

1.Hinava

Hinava atau Hinava Ginapan merupakan salah satu hidangan tradisional istimewa bagi suku kaum Kadazan-Dusun, Sabah dan boleh dikatakan sebagai makanan yang paling popular dalam kalangan kaum Kadazan-Dusun.

Makanan ini merupakan hidangan yang dihasilkan daripada isi ikan segar yang dicampurkan dengan biji buah bambangan yang telah diparut, cili merah, halia, bawang merah , limau kapas dan garam. Hivana biasanya merupakan hidangan istimewa semasa Tadau Kaamatan.
2.Pinasakan Sada

Pinasakan Sada atau Pinarasakan merupakan makanan tradisional bagi suku kaum Kadazan-Dusun dan sangat terkenal di Sabah.
Makanan ini merupakan sejenis makanan yang mengandungi ikan Basung yang telah ditumis dan dicampur dengan bahan-bahan lain seperti buah Bambangan, takob-akob, kunyit, dan garam. Pinasakan Sada juga sejenis makanan yang tahan lama dan boleh disimpan untuk beberapa hari.
3.Noonsom
Noonsom merupakan salah satu makanan tradisional suku kaum Kadazan-Dusun Sabah. Ia merupakan hidangan istimewa kaum Kadazan-Dusun.
Noonsom yang menjadi makanan tradisional kaum Kadazan-Dusun merupakan salah satu makanan yang berupa jeruk. Noonsom biasanya ada tiga jenis iaitu noonsom sada (ikan), noonsom bambangan (buah), noonsom tuhau (tumbuhan).
4.Ambuyat

Ambuyat merupakan sejenis hidangan yang berasal dari bahagian batang dalam sagu sawit. Ambuyat ialah sejenis makanan tempatan di Labuan dan negeri-negeri Borneo seperti Sarawak dan Sabah di mana makanan ini kadangkala dikenali sebagai linut.
Ambuyat dimakan dengan garpu buluh yang dipanggil candas, dengan menggolekkan kanji sekitar mata garfu dan kemudian mencelupkannya ke dalam sos.
5.Latok


Latok merupakan salah satu makanan tradisional yang terdapat di Sabah. Ia merupakan makanan tradisional bagi suku kaum bajau laut di Sabah. Latok merupakan sejenis makanan dari jenis rumpai laut.
Ia sangat popular di kalangan suku kaum Bajau Laut yang kebanyakkannya tinggal di persisir pantai daerah Semporna. Latok dipercayai mempunyai beberapa khasiat yang dapat memberi kebaikan kepada orang yang memakannya.
6.Manok Pansuh

Manok Pansoh adalah sejenis makanan dimana ayam dimasak dalam buluh. Makanan ini merupakan makanan tradisional masyarakat Iban. Cara menyediakannya sama seperti menyediakan lemang di Semenanjung Malaysia.
‘Manok’ bermaksudd ayam dan ‘Pansoh’ bermaksud dimasak dalam buluh. Dalam Bahasa Iban pula,dikenali sebagai ‘Manuk Pansuh’ ataupun ‘ Manuk Lulun’. Oleh sebab cara masakan ini berasal daripada masyarakat Iban, maka selain ayam bahan-bahan lain seperti daging ikan disediakan mengikut cara yang sama.
7.Barobbo

Barobbo merupakan salah satu makanan tradisional masyarakat atau suku kaum Bugis di Sabah terutamanya di daerah Sandakan dan Tawau.  Barobbo adalah masakan bubur nasi jagung. Biasanya barobbo di masak bersama jagung pulut. Namun pada masa kini ia banyak di masak dengan menggunakan jagung manis.
Barobbo biasanya di masak apabila sesebuah keluarga itu berkumpul beramai-ramai seperti sewaktu cuti di hujung minggu dan ia lebih sedap di makan ketika masih panas.
8.Umai

Umai pula merupakan makanan yang berasal dari kaum Melanau di Sarawak. Semua penduduk sarawak yang berbagai kaum menggemari umai. Ianya disediakan dari ikan yang mentah.
Ikan mentah dibersihkan dan diambil isinya dipotong kecil-kecil seterusnya diperap bersama limau, bawang merah dan cili. Ianya juga dicampur dengan bahan perasa yang lain. Umai yang biasa dijumpai adalah umai ikan dan umai udang. Umai lebih sedap dimakan setelah disimpan di dalam peti sejuk.
9.Midin

Sayur midin atau nama panjangnya Kemidin merupakan sejenis sayur yang sangat popular di Sarawak dan kebiasaanya sayur ini dimasak secara goreng belacan.
Sekali pandang sayur ini tidak ubah seperti sayur pucuk paku. Midin goreng belacan merupakan hidangan makanan yang juga tidak kurang popularnya di kalangan kaum Iban, yang berbeza hanya cara penyediaan. Banyak kedai-kedai makan di Sarawak yang menyediakan menu makanan sayur midin dengan pelbagai cara masakan.
10.Mee Kolok

Mee kolok juga merupakan mee yang popular di Sarawak dan semakin popular di Semenanjung Malaysia. Mee kolok banyak terdapat di kedai makanan Melayu dan Cina. Mee kolok terdapat dalam dua jenis iaitu mee kolok putih dan mee kolok kicap. Selain dikenali sebagai mee kolok, ia juga dikenali sebagai mee kampua, mee rangkai dan mee kering.
Tetapi ia lebih dikenali sebagai mee kolok. Bukan penduduk di Sarawak sahaja yang menggemari mee kolok tetapi orang luar yang datang ke Sarawak juga menggemari mee kolok. Keistimewaannya adalah rasa mee kolok berbeza dengan rasa mee goreng yang lain dan tekstur mee kolok juga kecil dan lembut serta kenyal.